KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan memperkenal Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi mengiktiraf kemahiran tertentu (APEL.S) bermula hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif terbaharu itu bagi memperluas akses APEL dan menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
Katanya, PSH sering dipromosikan oleh KPT bagi memberi peluang seluas-luasnya kepada masyarakat di negara ini untuk memiliki kelayakan akademik yang terbaik.
“Melalui APEL.S, kemahiran calon yang memohon akan dinilai oleh pakar bidang yang berkenaan, misalnya, kulinari atau automotif sebelum memberi pengiktirafan kelayakan berdasarkan peringkat pengajian sijil, diploma dan seterusnya.
“Bagaimanapun, inisiatif APEL.S ini tidak membabitkan program dalam bidang profesional,” katanya.
Sebelum ini, MQA telah memperkenalkan empat inisiatif APEL iaitu APEL.A (akses ke institusi pendidikian tinggi), APEL.C (pemindahan kredit), APEL.Q (penganugerahkan kelayakan) dan APEL.M (micro-credentils).
Hingga Disember 2024, MQA telah menerima lebih 64,000 permohonan untuk melalui APEL (APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan APEL.M).
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pengenalan APEL.S akan melengkapkan ekosistem APEL yang diperkenalkan oleh MQA sebelum ini, terutama dalam memperkasa agenda pendidikan fleksibel.
Katanya, pengajian menerusi kaedah konvensional masih ada daripada peringkat sijil hingga ijazah kedoktoran, namun pihaknya sudah pun mempersiap pendekatan pengajian menerusi kaedah pendidikan tinggi masa depan dengan APEL, micro-credentials dan pembelajaran berasaskan kerja atau ‘work-based learning’ (WBL).
“Melalui pendidikan fleksibel, masyarakat di negara ini terutama lebih 60 peratus golongan yang bekerja dan bekerjaya berpeluang melanjutkan pengajian atau meningkatkan kelayakan akademik dengan kaedah lebih anjal.
“Diharapkan semua inisiatif ini dapat disambut baik oleh IPT dengan menjadi pusat penilaian APEL (PPA) seterusnya menawarkan program menerusi inisiatif ini dan masyarakat umum di negara ini untuk mengambil peluang meningkatkan kelayakan masing-masing.
“Usaha sebegini pastinya akan mampu melonjakkan usaha Malaysia untuk menjadi hab pendidikan global seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir seterusnya menjadi destinasi pilihan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2030,” katanya. – MalaysiaGazette