MERBOK – Peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diyakini mampu menjadi pembekal utama baja subsidi berkualiti kepada para petani di seluruh negara.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok, Faizul Mat Hasan berkata, ia terbukti dengan keupayaan NAFAS menguruskan pembekalan baja subsidi kepada sektor pertanian terutamanya kepada pesawah selama ini.
“Kita di PPK buat tempahan baja kepada NAFAS dan proses pengagihannya berjalan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Cuma baru-baru ini berlaku sedikit kelewatan namun faktor itu tidak boleh kita labelkan NAFAS gagal kerana selama ini semua proses termasuk pengedaran baja kepada pesawah berjalan dengan lancar.
“Justeru kami yakin NAFAS mampu melaksanakan fungsi ini dengan baik kerana mereka sudah lama beroperasi dalam bidang ini dan memahami keperluan petani,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Tok Sora hari ini.
Sementara itu, seorang pesawah, Abd Malik Omar, 66, turut menyatakan sokongan penuh terhadap NAFAS agar diberikan kepercayaan dalam menguruskan pengagihan baja kepada pesawah.
“NAFAS ini ibarat keluarga buat pesawah kerana kita bergantung penuh dengan baja yang diberikan mereka mengikut jadual untuk memastikan hasil tanaman padi.
“Jadi pesawah dengan NAFAS ini saling berkait jika mereka ada masalah semestinya ia memberi impak kepada kami jadi takkan kerana kemelut tempoh hari kita nak hukum mereka (NAFAS) dengan menswastakan pertubuhan itu.
“Bagi saya NAFAS telah banyak berjasa kepada pesawab kami berharap mereka dapat terus berfungsi dengan baik demi kesejahteraan pesawah negara ini,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Mohd Nasir Osman, 58, berharap agar kerajaan tidak mengambil keputusan menswastakan pengagihan baja bagi menjaga kestabilan sektor pertanian dan kualiti baja yang diterima pesawah di seluruh negara.
“Kita kena tahu bahawa pembekalan baja tepat waktu sangat penting untuk memastikan pengeluaran padi berjalan lancar.
“Jika pembekalan baja diswastakan kepada pihak lain yang tidak berpengalaman, ini boleh menjejaskan jadual kami kerana NAFAS sudah mempunyai data lengkap pesawah dan ahli peladang. NAFAS dan PPK pula saling melengkapi dalam rantaian Pertubuhan Peladang serta memastikan kelangsungan perkhidmatan yang efisien,” katanya. – MalaysiaGazette