KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Pas tidak layak dijadikan contoh atau role model kepada sebuah perjuangan Islam, jauh sekali perjuangan Melayu.
Dakwa bekas Menteri Agama itu, Pas hanya parti politik yang tidak dipandu nilai dan prinsip manakala retorik Islam yang dibawa parti itu hanya untuk memukau orang ramai dan sekadar mahu meraih undi.
Menurutnya, himpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mana Pas mengerahkan kehadiran ahli-ahlinya hanya taktik murahan untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia juga, jelas beliau, bertujuan menimbulkan suasana dan hubungan yang retak antara parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“UMNO dan mereka yang bersimpati dengan Najib lebih mengetahui bahawa Pas tidak ada kena mengena dengan logik pembelaan Najib tetapi Pas hanya menunggang isu addendum Najib untuk kepentingan politik peribadinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mujahid, walau apa pun keputusan mahkamah berhubung titah adendum pada 6 Januari yang lalu, ia tetap tidak menafikan kerahan Pas untuk berhimpun membawa mesej yang mengelirukan kepada rakyat.
Pada waktu sama, ujarnya, tindakan Pas itu juga telah menelanjangkan wajah sebenar parti tersebut yang selama ini disembunyikan dengan topeng berlabelkan Islam.
“UMNO yang merasakan perlu untuk membela Najib bukanlah sesuatu yang pelik, itu pun UMNO telah mengarahkan dibatalkan perhimpunan tersebut demi menghormati titah arahan Yang di-Pertuan Agong dan sekaligus menjaga ketenteraman awam. Kenapa Pas beria-ria untuk berhimpun juga? Keliru lagi mengelirukan!” katanya. – MalaysiaGazette