GEORGE TOWN – Lima lelaki termasuk seorang warga asing yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas polis dalam dua serbuan berasingan dalam daerah Seberang Perai Utara hari ini.
Serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang antara jam 1 petang semalam hingga 4 pagi hari membawa kepada rampasan 12,975 gram heroin bernilai RM124,550.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun itu aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lalu.
“Serbuan pertama membawa kepada tangkapan tiga lelaki termasuk seorang warga asing di sebuah kawasan penternakan haiwan di Tasek Gelugor sebelum merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 10,025 gram bernilai RM96,250.
“Susulan itu, kita menahan dua lelaki warganegara tempatan secara berasingan di kawasan Mak Mandin dan merampas dadah disyaki heroin seberat 2,950 gram bernilai RM 28,300.
“Selain dadah, kita turut menyita tiga kereta, dua motosikal, lima rantai leher, empat bentuk cincin, dua bentuk subang serta wang tunai RM2,500 sekali gus jumlah keseluruhan sitaan serta dadah berjumlah RM311,363,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Hamzah, hasil semakan lanjut mendapati empat daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod lampau kesalahan melibatkan jenayah dan dadah.
“Selain itu, saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif.
“Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 15 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette