KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid India, hari ini.
Beliau yang tiba jam 1.20 petang disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan beberapa pengurusan masjid serta jemaah.
Anwar dan lebih 5,000 jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab’ yang disampaikan Imam Masjid India, Ustaz Nasrul Haq Abdul Latif.
Khutbah tersebut antara lain mengingatkan dalam Al-Quran bahawa terdapat empat bulan ‘haram’ daripada bilangan 12 bulan setahun yang dimuliakan dalam kalendar Hijriah.
Ia antara lain menyebut empat bulan haram tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang memiliki kedudukan istimewa kerana amalan kebaikan dilipatgandakan pahalanya, sebaliknya dosa yang dilakukan lebih besar kesannya. – MalaysiaGazette