KUANTAN – Seorang wanita maut manakala seorang remaja lelaki cedera parah dalam nahas membabitkan dua motosikal bertembung berhampiran Pasaraya TMG Tanjung Pasir, di sini malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.27 malam.
Beliau berkata, mangsa, Nur Aiesyah Mohd Norawie, 23 dilaporkan maut di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Yamaha Ego Avantis ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal jenis Honda AFP 110 ditunggang seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
“Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah KotaSAS menghala ke Kampung Padang, manakala motosikal ditunggang remaja lelaki itu dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal jenis Honda AFP 110 itu masuk ke laluan bertentangan dan berlangar dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut, Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoren meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, remaja lelaki itu mengalami kecederaan parah dan masih tidak sedarkan diri di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette