KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai kemasukan pelancong warganegara China ke Malaysia tanpa pemeriksaan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kenyataan tersebut tidak benar dan boleh mencemarkan imej serta kredibiliti jabatan.
“Peningkatan kemasukan pelancong China adalah hasil pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
“Data menunjukkan, jumlah pelancong China meningkat kepada 3.9 juta pada 2024 berbanding 1.6 juta pada 2023, iaitu peningkatan hampir 140%,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan autogate di KLIA Terminal 1 dan 2, yang boleh digunakan oleh pelawat dari 63 negara termasuk China adalah inisiatif untuk mempercepatkan proses imigresen tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Sistem ini menggunakan data biometrik dan pengecaman wajah yang dipadankan dengan cip pasport untuk memastikan keselamatan terjamin.
“Namun, kemudahan ini hanya boleh digunakan oleh pelawat yang memenuhi syarat, termasuk bebas daripada senarai hitam dan telah mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).
“Warga Singapura pula dikecualikan daripada keperluan MDAC,” ujarnya.
Jelas beliau, JIM akan terus komited dalam usaha mempermudah kemasukan pelawat asing, selaras dengan dasar kerajaan yang menyokong sektor pelancongan untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Tambahnya, orang ramai digesa untuk merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat. – MalaysiaGazette