KUANTAN – Kesemua 191 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 telah siap dibina di Pahang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 144 menara telah dilengkapi rangkaian telekomunikasi dan beroperasi sepenuhnya untuk manfaat penduduk setempat.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pihak terlibat kini dalam proses melengkapkan pemasangan rangkaian telekomunikasi di 47 buah menara lagi.
“Pada 1 April 2025, seharusnya semua menara ini dapat beroperasi sepenuhnya. Andai kata ada masalah kelewatan yang tidak dapat dielakkan, saya minta buat inisiatif interim untuk mengatasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemuktamadan dan Penyerahan Tapak Jalinan Digital Negara (JENDELA) Negeri Pahang di Tapak Jendela Sungai Pandan, di sini hari ini.
Menurut Fadzly, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kini sedang memperincikan lokasi untuk pembinaan menara-menara baru bagi Fasa 2 JENDELA di negeri ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan capaian rangkaian 5G pula, beliau memberitahu telah meminta SKMM dan Digital Nasional Berhad (DNB) mempertimbang permintaan kerajaan negeri agar menambah pembinaan struktur pemancar di enam daerah di negeri ini.
“Kita minta agar mempertimbangkan secara serius permintaan kerajaan negeri supaya wujud keseimbangan pembinaan struktur pemancar 5G di seluruh negeri.
“Sebab saya tengok taburannya tidak seimbang. Saya risau kalau daerah tertentu tidak mendapat manfaat seperti daerah lain. Ini boleh mempengaruhi pelabur misalnya.
“Jadi, saya dah nyatakan hasrat kepada DNB lihat secara terperinci taburan pembinaan struktur pemancar 5G ni khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Bera dan Maran,” jelasnya.
Sebagai rekod, sebanyak 355 stesen pemancar 5G telah siap dan beroperasi sepenuhnya di Pahang setakat 31 Oktober 2024. – MalaysiaGazette