Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KUALA LUMPUR- Ahli-ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran Simpanan Shariah serta-merta berkuatkuasa 1 April ini manakala ahli sedia ada yang mahu beralih ke Simpanan Shariah boleh berbuat demikian pada setiap awal bulan.

KWSP dalam kenyataan berkata, pelaksanaan penambahbaikan itu berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Disember 2024 hingga 31 Mac 2025 bagi memastikan inisiatif itu berjalan lancar.

Dalam tempoh tersebut, tarikh kuat kuasa bagi ahli yang ingin beralih ke Simpanan Shariah adalah seperti berikut:

*Sebelum 25 Disember 2024: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Januari 2025.

*Antara 25 Disember 2024 hingga 24 Mac 2025: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 April 2025.

*Antara 25 Mac hingga 31 Mac 2025: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Mei 2025.

*Mulai 1 April 2025 dan seterusnya: Tarikh kuat kuasa adalah pada 1 haribulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari.

Contohnya, ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 15 April 2025, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Mei 2025.

Jika ahli memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 25 April 2025, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Jun 2025 dan bukannya 1 Mei 2025, setelah mengambil kira tempoh tangguh selama tujuh hari tersebut.

“Dengan ciri baharu bagi pendaftaran Simpanan Shariah, ahli KWSP baharu kini boleh memilih Simpanan Shariah sebagai akaun pilihan mereka semasa pendaftaran kendiri.

Sebelum ini, perubahan kepada Simpanan Shariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya.

“Di bawah penambahbaikan ini, tarikh kuat kuasa akan jatuh pada hari pertama bulan berikutnya, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari, membolehkan ahli beralih kepada akaun patuh syariah dengan lebih cepat,” katanya lagi.

Tambahnya, pembaharuan itu dapat memendekkan tempoh menunggu dari tahunan ke bulanan dan memastikan pelaburan ahli adalah patuh syariah lebih awal.

Ia juga memberikan ahli kawalan dan fleksibiliti yang lebih besar, memudahkan mereka menguruskan simpanan persaraan selaras dengan keutamaan kewangan dan pilihan simpanan patuh syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai ciri penambahbaikan dan pendaftaran Simpanan Shariah, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here