KULAI – Polis menahan seorang lelaki dan merampas minuman keras dipercayai tidak bercukai bernilai RM61,504 dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Senai, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melakukan serbuan itu di bangunan kedai dua tingkat pada pukul 8 malam.
“Kedai tersebut menjalankan perniagaan makan dan minuman. Hasil serbuan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun ditahan.
“Turut dirampas sejumlah karton dan kotak yang mengandungi botol dan tin minuman keras dipercayai tidak bercukai.
“Kedai dan tingkat atasnya menyimpan minuman keras tetapi bukan dijadikan sebagai gudang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan bernilai RM61,504.
Katanya, suspek yang berperanan sebagai penjaga kedai mendapat kebenaran Mahkamah Majistret, di sini, untuk direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 15 Januari bagi membantu sisatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976, katanya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah boleh menghubungi bilik gerakan polis daerah Kulai 07-6637222.- MalaysiaGazette