KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa segera memuktamadkan status pelesenan platform media sosial X (dulu dikenali Twitter) bagi memastikan platfrom itu beroperasi di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi ASP(C) yang mula berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ini kerana berdasarkan pemantauan pihaknya, isu berkenaan perlindungan keselamatan dan kebebasan paling tinggi berlaku di platform X, berbanding platform media sosial lain.
Paling ketara, ujar beliau, adalah berkenaan aktiviti judi online dan pornografi yang terlalu bebas di platform X, selain isu penyebaran berita palsu atau tidak sahih yang lebih pantas.
Dalam masa sama, tambahnya, aspek pengesahan identiti pengguna di platform X juga lebih longgar, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk pihak tidak bertanggjungjawab menjalankan kegiatan mereka di platform tersebut tanpa dapat dikesan.
“Sebagai contoh untuk aktiviti perjudian misalnya, platform X bukan sekadar mempromosi atau memberi iklan kepada syarikat-syarikat judi, malah pengguna platform itu boleh terus berjudi di platform tersebut.
“Begitu juga dari sudut pornografi yang mana sesiapa pun boleh mempromosikan serta berkongsi elemen itu secara bebas di platform tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, platform X masih belum menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi di negara ini selaras dengan penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Ini kerana, ujar beliau, platform X masih dalam pengesahan berkenaan jumlah penggunanya di negara ini yang mana setakat ini tidak mencapai lapan juta iaitu nilai ambang pengguna yang disyaratkan untuk memohon lesen media sosial.
Setakat hari ini juga, tiga platform media sosial iaitu WeChat; TikTok dan Telegram sudah mendapat lesen masing-masing untuk beroperasi di negara ini dengan Facebook dijangka akan memperoleh lesen sama dalam masa terdekat.
Sementara itu, Siraj berkata, pendirian tegas kerajaan terhadap platform X tersebut penting kerana ia bakal menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menguatkuasakan akta pelesenan media sosial tersebut.
Apatah lagi, ujar beliau, platform X itu ketika ini beroperasi dalam situasi yang cukup berisiko kepada keselamatan pengguna dalam kesemua aspek yang dilindungi menerusi pelesenan media sosial iaitu pornografi, judi online, scammer dan penyebaran berita palsu.
“Banyak pihak ketika ini sedang menunggu sama ada kerajaan bersedia mengambil tindakan tegas terhadap platform X sekiranya masih tidak mahu mendapatkan lesen, sekali gus benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di media sosial seperti yang diuar-uarkan.
“Adakah kerajaan akan sampai ke tahap pertama kali mengharamkan platform media sosial beroperasi di negara ini sekiranya platform X enggan mendapatkan lesen?” katanya. – MalaysiaGazette