KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan, Noor Amni Nazaranee, 14, dilaporkan hilang selepas keluar dengan rakannya berjogging di Putrajaya
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Supt. Shan Gopal A/L Gopal Krishnan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan itu daripada ibu remaja tersebut pada jam 1.40 pagi hari ini.
Tambah beliau, pengadu mendakwa anak perempuannya telah keluar dari rumah di alamat Taman Bandar Bukit Puchong, Putra Perdana, Sepang, Selangor pada jam 5 petang semalam.
Ujarnya, abang Noor Amni melihat adiknya yang merupakan pelajar Sekolah Taman Putra Perdana, Sepang keluar dari rumah pada waktu tersebut untuk pergi ke rumah rakan di Lavender Terrace Puchong Prima, Taman Puchong Prima dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Hasil semakan mendapati Orang Hilang (OH) telah keluar dengan rakan dari alamat Levender Terrace Puchong Prima, Taman Puchomg Prima untuk pergi berjogging di Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Shan Gopal, kali terakhir iaitu pada jam 8.50 malam semalam, Noor Amni memaklumkan berada di Jalan Renang 13/26, Shah Alam, Selangor.
Tambah beliau, remaja itu keluar dari rumah dengan memakai baju warga gelap dan memakai tudung warna coklat serta membawa telefon bimbit.
Jelasnya, Noor Amni tidak mempunyai masalah dengan keluarga.
Shan Gopal berkata, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha menjejaki sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Noor Amni diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Rasimah Ab Rasid di talian 012-3252521 atau menghubungi Ibupejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777422. – MalaysiaGazette