Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha berucap pada sidang media selepas selesai sesi temu rapat dengan Persatuan, Wakil Masyarakat dan Organisasi berkaitan warga emas Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL (IDB), Bandar Tun Razak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memberi tumpuan kepada cabaran masyarakat menua menjelang 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa menekankan bahawa pihaknya telah merangka elemen penting yang perlu dimasukkan berkenaan masyarakat menua dalam pertemuan bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, baru-baru ini.

“Statistik semasa menunjukkan Malaysia telah mencapai 11% populasi warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dan hanya memerlukan empat peratus lagi untuk memasuki kategori negara tua (14%).

“Dengan tempoh lima hingga enam tahun yang berbaki, kerajaan berusaha memperkukuh dasar dan program untuk menangani cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi temu rapat bersama warga emas Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

“Kami akan memberikan fokus utama untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup golongan ini melalui inisiatif yang lebih inklusif dan terselaras.

“Saya akui usaha kerajaan dalam membantu warga emas masih bersifat berpecah-pecah, namun RMK-13 akan menjadi platform untuk menyelaraskan inisiatif-inisiatif yang lebih efektif.

“Kita perlu merangkul perancangan yang menyeluruh untuk memastikan setiap negeri bersedia menghadapi cabaran ini,” tambahnya.

Zaliha menekankan bahawa perancanvan dalam RMK-13 turut mengambil kira data populasi di mana wilayah Kuala Lumpur mencatat kadar warga emas sebanyak (9.18%), Labuan (8.3%), manakala Putrajaya lebih rendah pada (3.7%), disebabkan majoriti penduduknya adalah penjawat awam yang lebih muda.

“RMK-13 bukan sekadar pelan pembangunan ekonomi, tetapi juga platform penting untuk menyokong kesejahteraan sosial dan memastikan golongan warga emas diberi perhatian sewajarnya dalam usaha membangun negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here