KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan pemilikan Pulau Layang-Layang yang didakwanya menjadi tanda tanya.
Beliau mendakwa, Malaysia tidak lagi ingin menuntut pulau tersebut sebaliknya ada pihak yang berminat.
“Siapa milik Pulau Layang-Layang sekarang? Malaysia tak nak lagi. Okaylah – Ada orang yang berminat.
“Bagi kepada merekalah. Ini bukan pengkhianatan. Ini kerana khidmat kepada negara tercinta,” tulisnya tanpa mengulas lanjut menerusi media sosial hari ini.
Pulau Layang-Layang merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly.
Setelah mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau Layang-Layang itu terletak dalam perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia pada 20 September 1979, kerajaan pada waktu itu telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara.
Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama Terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980 dan pada Mei 1983, 18 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Terumbu Layang-Layang.
Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika atau sejam penerbangan dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, dengan empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.
Sebagai rekod, kepulauan Spratly menjadi rebutan beberapa negara seperti China, Vietnam, Filipina dan Brunei kerana dipercayai kaya dengan hasil semula jadi seperti fosforus, gas asli, petroleum dan pelbagai hasil marin yang memukau.-MalaysiaGazette