Dominic Lau

KUALA LUMPUR- Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggabungkan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala -Singapura dengan projek Bandar Malaysia.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang mencadangkan perkara itu berkata, langkah tersebut mungkin dapat menarik minat kerajaan Singapura atau konsortium lain untuk turut serta.

Beliau menjelaskan, jika tidak digabungkan dengan projek Bandar Malaysia, projek HSR sukar dilaksanakan kerana saiz pasarannya hanya melibatkan 14 juta penduduk dan pertimbangan pelaburan bakal menjadi cabaran utama.

“Tanpa subsidi atau sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, siapa nak mengeluarkan RM100 bilion semata-mata untuk membangunkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR)?

“Di China, laluan yang mencatat keuntungan menghubungkan empat bandar dengan populasi tertinggi, iaitu seramai 83.1 juta orang.

“Dengan realiti ini, Kerajaan Perpaduan yang sedang menanggung hutang negara lebih RM1.24 trilion, walaupun ingin memberikan subsidi, mungkin tidak mampu melakukannya.

“Projek HSR adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan masa puluhan tahun untuk mencapai pulangan modal. Tanpa disertakan dengan projek pembangunan lain, ia akan menjadi lebih terhad,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil menggelarkan kerajaan tidak peka, Dominic berkata, projek kereta api berkelajuan tinggi London-Paris memerlukan 20 tahun untuk mula mencatat keuntungan.

Manakala projek kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung di Indonesia juga mengalami kerugian dan dijangka mengambil masa 48 tahun untuk mencapai pulangan modal.

Malah di China, satu-satunya laluan kereta api berkelajuan tinggi yang mencatat keuntungan adalah Beijing-Shanghai dan Guangzhou-Shenzhen sedangkan laluan lain memerlukan subsidi kerajaan untuk menampung kos tinggi.

“Sekiranya ada konsortium yang sanggup melabur dalam HSR, persoalannya adalah berapa harga tiket tren?

“Tambang yang terlalu tinggi akan menghadkan bilangan penumpang, manakala tambang yang terlalu rendah pula tidak akan memberi manfaat ekonomi. Kecuali kerajaan bersedia memberikan subsidi untuk mengurangkan tambang dan meningkatkan jumlah penumpang,”ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, RM100 bilion adalah satu angka yang sangat besar dan kerajaan berdepan cabaran hebat sekiranya hanya berharap kepada sektor swasta untuk membiayai projek tersebut.

“Dalam keadaan kewangan kerajaan yang sempit, kerajaan perlu mengubah pendekatan untuk “menambah nilai” kepada projek HSR. Jika tidak, sukar untuk melihat projek ini dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta, dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi.

ARTIKEL BERKAITAN

HSR dilaksanakan jika ada penyertaan penuh swasta -PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here