Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR- Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau addendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi di bawah BHEUU, JPM.

Tambahnya, bahagian itu juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.

BHEUU JPM menegaskan, sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.

Mengulangi kenyataannya sebelum ini, BHEUU hanyalah urusetia kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Jelasnya, Lembaga Pengampunan adalah sebuah badan bebas dan bukannya agensi atau jabatan kerajaan di bawah BHEUU, JPM.

“Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri.

“Setiap Menteri Besar atau Ketua Menteri turut menjadi anggota Lembaga tersebut. Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh kerana Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya dianggap sebagai entiti setaraf negeri, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi anggota Lembaga tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai desakan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 didedahkan kepada umum, BHEUU menegaskan, prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88].

Ini bermakna, semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” ujarnya lagi.

BHEUU, JPM sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada. Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa selepas setahun baru nak cakap? Sampai DS Najib bawa ke mahkamah dan sampai Mantan DYMM Agong sendiri keluarkan kenyataan mengesahkan. Kenapa bila peguam DS Najib hantar surat kpd Menteri Undang2 buat bodoh jaa?? langsung tak reply??? Kalau dari dulu kata Tak ada kan senang…padahal soalan simple jaa..ada ker tidak? Tu pun susah nam jawab..makan gaji buta

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here