KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas perkara sama dilakukan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ia susulan dakwaan, Khairy yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO menyatakan terdapat komplot menyembunyikan titah adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Laporan polis Zaliha dibuat Setiausaha Politiknya, Nor Azrina Surip di Balai Polis Putrajaya hari ini.
Zaliha menegaskan, beliau tidak pernah melihat dokumen yang dirujuk oleh Khairy.
Semalam, Setiausaha Politik kepada Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) membuat laporan polis terhadap Khairy di Balai Polis Sentul.
Datuk Suraya Yaacob tampil berbuat demikian selepas melihat satu artikel di sebuah portal yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina berkomplot menyembunyikan titah adendum.
Laporan itu dibuat supaya polis segera menyiasat Kahiry yang juga bekas Menteri Kesihatan. – MalaysiaGazette