Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (tengah) semasa majlis MoU (ITC) mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global pelancongan mesra muslim dengan bekerjasama dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, (BUMITRA),  Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Cina Masuk Malaysia (MICA) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Pelancongan Islam (ITC) mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global pelancongan mesra muslim dengan bekerjasama dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, (BUMITRA),  Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Cina Masuk Malaysia (MICA) baru-baru ini.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penganjuran program lawatan khas atau familiarisation trip melibatkan imam dari Republik Rakyat China (PRC) dan Eropah.

Turut hadir pada dalam majlis itu adalah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Usaha strategik itu bertujuan menonjolkan ekosistem mesra muslim yang kukuh di Malaysia termasuk warisan budaya, tarikan alam semula jadi dan bandar sekali gus mempromosi negara sebagai destinasi utama pelancong muslim.

Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem pelancongan mesra muslim yang mampan dan menyeluruh.

“Dengan melibatkan pemimpin berpengaruh dalam komuniti muslim di China dan Eropah, kami berharap dapat memperkukuhkan hubungan antarabangsa, meningkatkan kesedaran tentang Malaysia dan membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk pemegang taruh dalam industri pelancongan tempatan.

“Program lawatan khas ini memberi peluang kepada imam-imam dari China dan Eropah untuk merasai pengalaman penuh Malaysia sebagai destinasi mesra muslim.

“Mereka akan menginap di hotel-hotel yang telah menerima pengiktirafan dan pensijilan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) oleh ITC.

“Selain itu, mereka akan dibawa melawat masjid-masjid, menikmati hidangan makanan halal serta mengalami keindahan budaya, warisan dan alam semula jadi Malaysia diiringi oleh pemandu pelancong mesra muslim yang terlatih sepenuhnya (atau MFTG),” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau menambah, kejayaan program perintis yang dijalankan pada Januari ini bersama MICA telah memberikan impak positif kepada sektor pelancongan Malaysia.

“Antara Februari hingga Mac 2024, Malaysia menerima 58,000 pelancong muslim dari China yang menghasilkan pendapatan pelancongan sebanyak RM92.8 juta.

“Ini adalah bukti keberkesanan kerjasama dalam industri untuk melibatkan pemimpin berpengaruh dalam komuniti muslim dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

“Kami juga melihat peluang serupa untuk pasaran Eropah selepas penglibatan ITC di London dan Paris,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut berharap agar kerjasama berkenaan dapat memberi impak besar dalam menarik lebih ramai pelancong muslim ke Malaysia seterusnya menyumbang kepada sasaran pelancongan negara menjelang 2026. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here