PEKAN – Lima sekeluarga maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Sembayan di Nenasi, dekat sini, malam ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, dalam kejadian jam 7.14 malam itu seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin telah diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 7.34 malam.
Selain itu katanya, 10 anggota dari balai bantuan turut digerakkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi bagi membantu operasi menyelamat
“Kemalangan maut itu melibatkan kereta jenis Proton Wira Aeroback dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
“Kemalangan berlaku ketika kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima orang mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang bayi,” katanya.
Kenderaan berkenaan bertembung dengan Nissan Grand Livina dinaiki seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.
Menurutnya kedua-dua mangsa menaiki Grand Livina mengalami kecederaan akibat kemalangan tersebut.
“Seorang mangsa menaiki Nissan Grand Livina tersepit manakala seorang lagi tidak tersepit. Kedua-dua mangsa cedera dan mengadu sakit di bahagian pinggang.
“Manakala lima mangsa yang berada dalam kereta Proton Wira Aeroback tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.
Pihak bomba memaklumkan pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang berada dalam Nissan Grand Livina dan Proton Wira Aeroback.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin manakala kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian sedang dijalankan bagi mengenal pasti tiada lagi mangsa yang terperangkap atau hilang,” katanya. – MalaysiaGazette