KUALA LUMPUR – Siasatan awal mendapati terdapat unsur pengabaian oleh pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan dalam kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di taska baru-baru ini.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dalam kes berkenaan.
Setakat ini, katanya, enam individu sudah diambil keterangan termasuk pengasuh yang juga suspek.
Polis juga sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup untuk siasatan, katanya hari ini.
Pihaknya juga masih menunggu hasil keputusan makmal dalam urusan bedah siasat mangsa.
Sebelum ini, polis membuka satu kertas siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dihantar seorang pengasuh taska ke sebuah klinik di Bandar Saujana, Selangor pada 3 Januari lalu.
Mohd Akhmalrizal Radzi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, polis telah menerima laporan kejadian itu daripada seorang doktor dari klinik di Bandar Saujana pada hari sama pada pukul 3.29 petang.
“Doktor memaklumkan telah menerima bayi lelaki yang dibawa pengasuh taska dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi, nafas serta pergerakan anak mata apabila disuluh dengan lampu.
“Pengadu serta-merta melakukan CPR dan bantuan oksigen pada mangsa sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke Hospital Cyberjaya.
“Pihak hospital yang kemudian menerima bayi itu sekitar jam 4.35 petang juga melakukan CPR selama lebih 30 minit namun tiada tindak balas dan doktor mengesahkan bayi lelaki itu telah meninggal dunia pada pukul 5.05 petang,” katanya dalam kenyataan sebelum ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bayi 4 bulan sudah tidak bernafas ketika pengasuh hantar ke klinik