KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyeru generasi muda untuk terus berani mencabar status quo dengan idea-idea baharu, inovatif dan progresif.
Ia demi memastikan isu-isu rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan pembangunan luar bandar diberi perhatian utama.
Ketuanya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, ia selari dengan hakikat generasi muda adalah tunjang masa depan negara dan idealisme serta semangat yang mereka miliki merupakan aset yang berharga dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
Bagaimanapun, tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, menjadi pemimpin muda bukan sekadar bergantung pada usia tetapi juga prinsip dan idealisme.
“Malangnya, ada segelintir tokoh muda yang memilih untuk mempertahankan perasuah dengan menormalisasi penyelewengan atas nama politik sempit serta memainkan sentimen perkauman.
“Mereka ini sebenarnya mengkhianati semangat perjuangan anak muda yang tulus untuk membawa perubahan.
“Pemimpin seperti ini hanya akan memecahbelahkan masyarakat dan menjejaskan pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia ke-73 semalam, menyeru anak muda untuk menjadi jurubicara kepada suara hati rakyat pelbagai bangsa demi mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Mengulas mengenai seruan Perdana Menteri itu, Mohammed Taufiq menyifatkannya tepat pada masanya memandangkan peranan anak muda semakin penting dalam membawa perubahan dan membela nasib masyarakat terutama golongan yang masih terpinggir.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan generasi muda supaya lebih berhati-hati memilih pemimpin iaitu mereka yang berintegriti, berprinsip dan benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat, bukannya pemimpin yang hanya menjadi alat kepada kepentingan golongan tertentu.
“Semoga anak muda terus menjadi pemangkin kepada Malaysia yang lebih makmur, adil, dan bersatu padu dengan menjunjung tinggi prinsip integriti dan berusaha membawa perubahan demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette