KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa melakukan tindakan tegas terhadap penganjur Festival Havoc Food yang didapati beroperasi tanpa kelulusan penuh.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penganjur dilaporkan masih meneruskan penganjuran festival berkenaan meskipun permohonan lesen mereka telah ditolak DBKL sebanyak dua kali.
“Saya difahamkan pentas utama telah pun disita pagi tadi. Cuma, di peringkat gerai-gerai tu, masih lagi ada berlaku penjualan.
“Saya tidak menyalahkan pemilik gerai kerana mereka hanya mencari rezeki, tetapi penganjur harus bertanggungjawab.
“Justeru, DBKL perlu bertindak tegas kerana penganjur terus menjalankan acara tanpa kebenaran,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan buku berjudul ‘Saving the Planet: Climate and Environmental Lessons from Malaysia and Beyond’, di sini, hari ini.
Menurutnya, lokasi karnival itu yang terletak di kawasan padat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas dan PPR Semarak telah menimbulkan pelbagai isu, termasuk kesesakan lalu lintas, gangguan terhadap penduduk setempat dan risiko keselamatan.
“Saya berharap pihak penganjur lebih bertanggungjawab dengan mengambil kira keselesaan penduduk serta situasi kawasan sebelum menganjurkan sebarang acara.
“DBKL juga diharapkan dapat memastikan agar acara seumpama ini tidak diteruskan tanpa kelulusan pada masa akan datang,” jelasnya.
Sebelum ini, penganjuran Festival Havoc Food di tempat letak kereta Sama Square, Setapak sejak 9 Januari lalu diarah dihentikan bermula hari ini.
Arahan itu dikeluarkan DBKL kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa. – MalaysiaGazette