KUALA LUMPUR – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menyambut baik inisiatif Jepun untuk menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai depan.
Malah pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong inisiatif berkenaan dan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat menteri juga amat bermakna terutama dalam keadaan di mana seolah-olah tidak jelas hala tuju dan masa depan Palestin sebagai negara merdeka.
Jelasnya, kerjasama sedemikian meskipun prasyaratnya ialah gencatan senjata dan penamatan perang, namun memberi isyarat optimistik bahawa kebijakan dan kerjasama antara negara tetap waras terkait pembelaan rakyat, kebebasan, keamanan dan keadilan sejagat.
“Sejajar dengan itu, saya berharap ASEAN dengan Malaysia sebagai Pengerusinya tahun ini, akan turut memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat demi keamanan, kestabilan serantau dan kebebasan ekonomi seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin menambah, inisiatif lebih tangkas amat wajar digerakkan untuk menyingkirkan negara pengganas Israel daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ia, katanya, mengambil kira kekejaman genosid dan amalan aparteid rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, pelanggaran keputusan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan resolusi PBB, serangan ke atas kakitangan PBB dan pengharaman aktiviti UNRWA (Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin).
“Kekebalan negara pengganas Israel wajib ditembusi kerana hingga waktu ini, pembunuhan dan serangan ke atas Gaza, Lubnan dan Yaman masih berlaku setiap hari,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang.
Sebelum ini, Anwar menyatakan sokongan penuh terhadap insiatif Jepun menganjurkan persidangan CEAPAD pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza yang disifatkan sangat bermakna bagi Malaysia.
Perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan Anwar dan Ishiba sewaktu pemimpin Jepun berkenaan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia semalam. – MalaysiaGazette