KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi kakitangan dan seorang bekas kakitangan sebuah agensi sebuah kementerian kerana dipercayai terbabit amalan rasuah dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Syazly Md Sain selepas permohonan dibuat SPRM hari ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan sekitar pukul 3.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan untuk membantu siasatan kes.
“Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek ini adalah susulan operasi dijalankan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader pada Rabu lalu dimana seramai lapan individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang pengarah agensi sebuah kementerian ditahan.
“Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai-pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat-syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” katanya.
Berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuurhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette