Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan tidak amanah apabila ‘lari’ daripada membuat penjelasan mengenai titah adendum.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan beranggapan sikap yang ditunjukkan itu berisiko membentuk persepsi rakyat bahawa ada titah Raja-Raja Melayu boleh untuk tidak dihiraukan.

“Jika perkara ini dibiarkan, ia membuka pintu kepada satu hari nanti titah-titah Raja-Raja Melayu dipilih-pilih, ada yang dihormati dan ada yang ditolak tepi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Januari lalu, Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum, Januari tahun lalu

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, sikap yang sama itu bukan sahaja suatu penderhakaan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong bahkan membuka negara kepada satu krisis Perlembagaan.

“Ia perlu dibincangkan segera oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Adakah Perdana Menteri dan kerajaan boleh menidakkan titah bertulis seorang YDPA semasa sah bertakhta?

“Jika alasannya ialah YDPA bertukar, adakah kerajaan mahu memberitahu rakyat bahawa titah Raja-Raja Melayu ada tarikh luput?” soalnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful memohon Majlis Raja-Raja mengkaji semula kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sudah tiba masanya untuk Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan Anwar, demi memelihara kedaulatan dan penghormatan kepada institusi Raja dan Institusi YDPA,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here