zaid ibrahim pendakwaan terpilih
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Zaid Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin.

Ini kerana, katanya, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu tidak membuat sebarang kesalahan dan hanya sekadar menyatakan pandangannya terdapat konspirasi dalam menyembunyikan titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwanya, ramai orang berkongsi pandangan sama dengan Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dan kenyataan itu dibuat dengan niat yang baik.

“Dia seorang warganegara yang bertanggungjawab dan berhak mengemukakan pendapat mengenai perkara tersebut. Kebebasan bersuara, ok!

“Jika menteri merasa terkilan dan merasakan kenyataan itu mencemarkan reputasinya, dia boleh menyaman KJ kerana fitnah. Firma saya pakar dalam kes fitnah,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Mohd Zaid lagi, Azalina tidak perlu bertindak secara angkuh dengan meminta polis menyiasat bekas menteri yang telah menunjukkan kesabaran luar biasa dalam setiap komennya  mengenai  titah adendum tersebut.

Katanya, sesuatu konspirasi memerlukan lebih daripada satu menteri yang terlibat dalam menyembunyikan atau menutup perkara itu secara terang-terangan.

“Sekarang, kami diberitahu bahawa adendum itu tidak wujud. Azalina dan Zaliha (Dr Zaliha Mustafa) adalah menteri di pejabat PMX, dan kedua-duanya menafikan pengetahuan mengenainya.

“Adakah kerajaan mengatakan Istana Pahang berbohong?” soalnya.

Justeru, Mohd Zaid mendakwa, kini terdapat fasa baru dalam dalam perkembangan politik di negara ini.

“Itulah yang berlaku apabila kita menggantikan hegemoni gaya BN (Barisan Nasional) dengan reformasi gaya Madani,” ujarnya.

Semalam, Setiusaha Politik  Azalina dilaporkan membuat laporan polis terhadap Khairy kerana dakwaan  ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum.

Laporan dibuat oleh Suraya Yaacob dengan menyatakan apa yang diperkatakan oleh Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau sebagai tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai anggota Jemaah Menteri.

Perkara itu juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.

Penggunaan perkataan “komplot” , katanya, adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak beretika. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here