Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula secara rasmi hari ini selepas tujuh tahun dimansuhkan dengan lebih 130 pelatih sukarela dari seluruh negara melapor diri di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.

Kesemua pelatih bagi Latihan Percubaan PLKN 3.0 itu berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun akan menjalani latihan ketenteraan dan kenegaraan selama 45 hari hingga 25 Feb ini.

Pelaksanaan semula program itu yang dijalankan secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia, selain melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup menerusi pengalaman latihan fizikal dan mental.

Konsep PLKN 3.0 dibangunkan berteraskan Akta Latihan Khidmat Negara (Akta 628), Dasar Keselamatan Negara (DKN), Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan dasar-dasar berkaitan dengan gabungan dua komponen penting iaitu Komponen Utama Latihan Khidmat Negara dan Komponen Keberhasilan Latihan Khidmat Negara.

Selepas latihan percubaan, fasa PLKN 3.0 seterusnya akan dilaksanakan di 13 Kem Askar Wataniah, 20 Universiti Awam, 33 Politeknik, 27 Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) / Institusi Latihan Perindustrian (ILP) yang akan dijadikan tempat latihan asas PLKN di seluruh negara.

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun melibatkan purata perbelanjaan RM600 juta setahun.

Program itu kemudiannya dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan namun diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here