JOHOR BAHRU – Seramai 3,449 mangsa banjir di negeri ini ditempatkan di 36 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pag ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa banjir itu membabitkan 1,023 keluarga dari lima daerah yang dilanda banjir sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu memberitahu, lima daerah tersebut adalah Kota Tinggi, Kulai, Johor Bahru, Kluang dan Pontian.
“Pontian, Kulai dan Kluang menjadi daerah terbaharu terjejas akibat banjir setakat tengah hari semalam.
“Mangsa banjir paling ramai adalah di daerah Kota Tinggi melibatkan 1,160 penduduk daripada 368 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.
“Ini diikuti di Kulai dengan 748 penduduk daripada 187 keluarga di lima PPS. Ketiga di Johor Bahru dengan 605 penduduk daripada 206 keluarga di lima PPS,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, daerah kempat terjejas adala di Kluang membabitkan 50 penduduk daripada 148 keluarga di lima PPS dan Pontian melibatkan 430 penduduk daripada 114 keluarga di lapan PPS.
Jelasnya, mereka ditempatkan di sekolah rendah dan dewan raya berdekatan.
“Jumlah mangsa banjir di dua PPS di Pontian terus bertambah pagi ini dan pihak terbabit sedang mengemas kini data terkini mangsa banjir,” ujarnya.
Dalam pada itu, memaklumkan sebanyak tiga sungai yang merekodkan paras bahaya.
Katanya, ini membabitkan Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong di Kampung Siam dan Sungai Sayong di Kampung Murni Jaya, Kulai.- MalaysiaGazette