BANGI – Para penggemar makanan segera berasaskan burger kini boleh beralih kepada jenama BGM Burgerman, yang menawarkan citarasa tempatan.
Walaupun baru dua bulan di pasaran, BGM Burgerman semakin menambat hati penduduk di sekitar Bangi apabila kedai makanan segera ini terus menerima pelanggan yang cukup memberangsangkan.
Pengurus Besar Burgerman, Nordin Mat berkata, sejak dibuka di Kompleks Bangi Gateaway di sini, pelanggannya tidak pernah putus, malah pelanggan-pelanggannya berulang kali membeli dalam seminggu.
Beliau percaya dan yakin, sambutan baik ini kerana para pelanggannya dapat menikmati Burgerman yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar menggunakan sumber tempatan.
“Kita bangunkan Burgerman menggunakan produk-produk Malaysia dan bersama usahawan-usahawan tempatan dari segi roti, patty daging, sos, ayam, tepung dan lain-lain… semuanya bahan tempatan.
“Ramai orang ingat kami menggunakan bahan dari luar (import), tidak. Semua guna bahan homegrown (buatan sendiri), kita bantu usahawan-usahawan tempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette, ketika ditemui di sini.
Selain burger, makanan lain yang turut dijual di BGM Burgerman ialah ayam goreng, nuget, kentang goreng dan aiskrim.
Berkongsi detik pembukaan Burgerman, Nordin yang juga pengasas jenama GTR Burger itu berkata, pasaran Malaysia menyaksikan perubahan sangat besar sejak tahun lepas, susulan isu boikot berpanjangan jenama-jenama antarabangsa yang dikaitkan dengan pergolakan di Palestin.
Mengambil peluang itu, Nordin tidak mengambil masa panjang untuk membuka perniagaan yang diyakini mampu menandingi jenama-jenama antarabangsa yang diboikot.
“Saya melihat, ada satu peluang yang sangat besar dalam perniagaan berkonsepkan burger kerana tidak ada pihak yang berbuat demikian pada ketika itu.
“Mungkin kita dengar ada pihak nak mempromosikan fast food ayam, tapi, untuk burger ni saya rasa belum ada.
“Masa saya buat GTR burger dulu, apa yang kita lihat sebenarnya untuk kita mempromosikan daging lembu penternak tempatan iaitu Group Transformasi Ruminan itulah GTR.
“Jadi, semangat apa yang saya buat daripada GTR Burger itu kita rasa, kita nak serapkan Burgerman ini menggunakan tagline sepenuhnya homegrown,” ujarnya.
Mengulas operasi Burgerman, Nordin berkata, perniagaan ini menggunakan teknologi terkini dalam mengatur cara perkhidmatan kepada pelanggan.
Nordin yakin menerusi kemudahan yang disediakan, pelanggan boleh mendapat pesanan kurang dari lima minit.
Jelasnya, tempoh masa itu adalah ideal dan sepatutnya diambil oleh penyedia makanan segera dan ia merupakan prosedur operasi standard yang diguna pakai oleh semua restoran makanan segera di seluruh dunia.
Tambah beliau, sama seperti restoran makanan segera jenama antarabangsa yang menggunakan sistem pesanan layan diri seperti menggunaka kiosk, premis Burgerman juga tidak ketinggalan menggunakan kaedah seperti itu.
Selain itu, pelanggan juga boleh membuat pesanan secara online dan mengambil tempahan makanan yang akan dihantar terus kepada mereka sejurus sampai ke premis mereka.
Berbeza dengan konsep pandu lalu, Burgerman akan mengetengahkan konsep drive in iaitu berhenti seketika untuk mengambil makanan selepas membuat pesanan menggunakan telefon.
“Memandangkan di sini pelanggan kena membayar untuk letak kenderaan, kami bercadang akan menyediakan khidmat drive in untuk memudahkan mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nordin berkata, beliau berhasrat untuk melebarkan cawangan BGM Burgerman di Shah Alam, Selangor dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada tahun ini berikutan permintaan yang memberangsangkan.
“Insya-Allah kami merancang untuk meluaskan cawangan lepas raya nanti dan kita sasarkan di Wangsa maju dan juga beberapa lagi lokasi.
“Tahun ini akan ada beberapa perkembangan yang banyak untuk Burgerman susulan respons yang banyak dan positif daripada masyarakat dan komuniti,” ujarnya. – MalaysiaGazette