KUALA LUMPUR – Sebuah bom Unexploded Ordnance (UXO) yang dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua berjaya dimusnahkan sekitar jam 3.10 petang di perairan Pulau Sibuan, Semporna, semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bom berkenaan telah ditemui pada 7 Januari lalu dan operasi pemusnahannya dijalankan sejak kelmarin.
Pasukan diketuai oleh Lt Kdr Ghazali bin Soleman TLDM terdiri daripada 11 anggota Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Lumut serta Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan.
“Siasatan awal mendapati UXO berukuran 3 kaki panjang dan 1 kaki lebar serta dianggarkan seberat 250kg dipercayai berasal dari tahun 1945, sewaktu era Perang Dunia Kedua.
“Pemusnahan dilakukan menggunakan kaedah Blow in Place (BIP), iaitu kaedah memusnahkan bahan letupan di lokasi penemuan dengan langkah keselamatan tertinggi.
“Tiada sebarang kerosakan terhadap harta benda atau alam sekitar marin dilaporkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Hasil Post Blast Investigation (PBI) mengesahkan UXO yang dimusnahkan merupakan Aerial Bomb, iaitu bom yang dijatuhkan dari pesawat udara.
Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada ESSCOM, ATB2, dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Selain itu, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), ATB2, dan Taman-Taman Laut Sabah turut menugaskan bot untuk kawalan keselamatan sepanjang operasi berlangsung. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL