KUANTAN – Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas di kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi, Rompin semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai pada jam 1.10 tengah hari tadi.
Sebelum itu, jenazah Hamzah Zahari, 53 dan isteri, Rahimah Rahimah Awang Muda serta tiga anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10; Muhammad Luqman Nur Hakim, 8 dan Muhammad Lutfi, 4 dimandi dan dikafankan di Hospital Pekan.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Nenasi untuk solat jenazah kira-kira jam 5.30 pagi.
Dalam nahas memilukan kira-kira jam 7 petang semalam, kereta jenis Proton Wira dinaiki lima sekeluarga itu dilaporkan hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Kemalangan itu mengakibatkan mereka sekeluarga maut di tempat kejadian, manakala dua individu menaiki Nissan Grand Livina pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Identiti lima sekeluarga maut dalam nahas di Pekan sudah dikenalpasti