Mohammad’ Irfan Mohd Halmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk lebih proaktif dalam melaksanakan titah adendum berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memberi keadilan sewajarnya, kata Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO.

Mohammad’ Irfan Mohd Halmi berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertindak komited dalam melaksanakan titah adendum tanpa ada sebarang campur tangan politik.

“Kita mahu proses keadilan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga mantan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dibuat secara adil dan telus tanpa ada sebarang campur tangan politik mahupun sebarang gangguan kuasa politik dari sentuhan tangan tangan ghaib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad’ Irfan melahirkan rasa kesal mendalam terhadap tindakan pihak tertentu yang  tidak telus dan cuba menyembunyikan titah adendum daripada umum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Kerajaan dicadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh pihak yang secara sengaja bertindak menyembunyikan isu Lembaga Pengampunan dan Titah Adendum oleh mantan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembebasan Najib dari hukuman penjara kepada tahanan rumah,” kata Pengerusi Kelab Bersetia Bersahabat (AZH) Kota Bharu Negeri Kelantan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menjelaskan mengenai titah adendum berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, menyanggah dakwaan kononnya kerajaan menyorok dokumen terbabit.

Perdana Menteri menegaskan dokumen berkaitan titah adendum itu dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AG) dan bukannya kepada beliau atau mana-mana ahli dalam Lembaga Pengampunan.

Anwar turut berkata selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar dan AG menyerahkan surat itu kepada Istana Negara bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong yang baharu, Sultan Ibrahim, membuat keputusan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here