Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan tokoh ekonomi terkemuka dunia, Prof Jeffrey D Sachs dari University of Columbia Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka dunia, Profesor Jeffrey D. Sachs dari Columbia University.

Pertemuan itu membincangkan beberapa perkara terkait pembangunan mampan, tenaga hijau dan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Antara lain, Anwar dan Sachs turut membincangkan dasar luar yang lebih bebas untuk menarik minat para pelabur ke Malaysia.

“Moga pertemuan ini membawa pelbagai manfaat kepada negara, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di media sosial malam ini.

Pertemuan itu diadakan sebelum beliau berangkat ke luar negara (Emiriah Arab Bersatu) untuk tugasan rasmi.

Sachs merupakan profesor ekonomi terkemuka dunia, penulis buku terlaris, pendidik inovatif, dan pemimpin global dalam pembangunan mampan.

Beliau diiktiraf secara meluas kerana strateginya yang berani dan berkesan dalam menangani cabaran kompleks termasuk mengatasi kemiskinan tegar, perjuangan global melawan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, krisis hutang dan kewangan antarabangsa, pembaharuan ekonomi negara, serta kawalan penyakit pandemik dan epidemik.

Beliau juga merupakan Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB, Pengerusi Bersama Majlis Jurutera bagi Peralihan Tenaga, ahli akademik Akademi Sains Sosial Pontifikal di Vatican, Pesuruhjaya Suruhanjaya Jalur Lebar PBB bagi Pembangunan, Profesor Kehormat Tan Sri Jeffrey Cheah di Sunway University dan Penyokong SDG untuk Setiausaha Agung PBB António Guterres.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here