Home Rencana Popcorn brain ancaman teknologi terhadap kesihatan mental

Popcorn brain ancaman teknologi terhadap kesihatan mental

DUNIA moden yang dikelilingi teknologi digital telah membawa banyak manfaat, tetapi ia juga mencetuskan pelbagai cabaran baharu, termasuk isu yang dikenali sebagai “popcorn brain“. Istilah ini merujuk kepada keadaan di mana otak manusia menjadi terlalu terstimulasi akibat pendedahan berlebihan kepada media sosial, permainan video, dan penggunaan gajet secara berterusan.

Walaupun istilah ini bukan istilah perubatan rasmi, ia menggambarkan fenomena yang semakin lazim di kalangan masyarakat hari ini. Otak yang “meletup” dengan rangsangan tanpa henti sukar untuk memberi tumpuan, berfikir secara mendalam, atau menikmati interaksi sosial secara bersemuka. Keadaan ini menimbulkan cabaran besar, terutama dalam usaha menyeimbangkan antara teknologi dan kesejahteraan mental.

Dalam dunia saintifik, fenomena “popcorn brain” berkait rapat dengan kajian tentang kesan penggunaan teknologi terhadap fungsi kognitif. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychology mendapati bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menjejaskan keupayaan untuk memberi perhatian dan meningkatkan risiko gejala depresi.

Selain itu, satu kajian terkini dalam Journal of Behavioral Addictions menunjukkan bahawa ketagihan terhadap telefon pintar menyumbang kepada gangguan pola tidur dan tekanan mental. Penggunaan teknologi yang berlebihan menyebabkan minda manusia sukar untuk menikmati saat-saat tenang, kerana otak sentiasa mencari rangsangan baru yang serupa dengan pemberitahuan telefon atau video pendek di media sosial.

Kesan negatif “popcorn brain” boleh dilihat dengan lebih jelas dalam kehidupan seharian. Contohnya, seseorang yang terlalu bergantung kepada telefon pintar sering merasa gelisah apabila tidak menerima pemberitahuan baharu. Mereka mungkin membuka aplikasi media sosial secara berulang kali walaupun tiada keperluan, semata-mata untuk memenuhi keinginan otak terhadap rangsangan.

Akibatnya, mereka kurang produktif, sukar menyiapkan tugas yang memerlukan fokus, dan cenderung melupakan tanggungjawab harian. Dalam konteks pendidikan, pelajar yang terbiasa dengan rangsangan digital mendapati sukar untuk menumpukan perhatian semasa kuliah atau pembelajaran, kerana mereka sudah terbiasa dengan maklumat yang ringkas dan pantas.

Dari sudut hubungan sosial, “popcorn brain” juga menyebabkan interaksi interpersonal menjadi cetek. Seseorang yang sibuk dengan gajetnya mungkin kehilangan peluang untuk berkomunikasi dengan orang lain secara bermakna. Situasi ini boleh mengakibatkan perasaan terasing walaupun dikelilingi keluarga dan rakan-rakan. Lebih membimbangkan, ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental seperti keresahan sosial dan depresi.

Bedasarkan kajian pakar psikologi, beberapa kaedah boleh digunakan untuk meminimumkan masa melayari internet sesecara keterlaluan ini. Antaranya, tetapkan waktu tertentu untuk menggunakan skrin, seperti memeriksa e-mel atau media sosial hanya pada jam-jam tertentu. Gunakan mod “Jangan Ganggu” apabila bersama rakan atau keluarga. Alihkan gajet dan skrin daripada bilik tidur, ruang makan, dan bilik mandi. Gantikan hiburan skrin dengan permainan papan, membaca, atau memasak di ruang-ruang tersebut.

Kemudian, libatkan diri dalam hobi tanpa skrin seperti berkebun, melukis, atau bermain alat muzik. Luangkan masa di luar untuk bersukan, bersenam dan mendapatkan cahaya matahari, yang mana ia membantu meningkatkan mood dan kesihatan secara semula jadi. Untuk mengurangkan ketegangan mata, ambil rehat 20 saat setiap 20 minit dan fokuskan mata pada sesuatu sejauh 20 kaki. Peraturan mudah ini dapat mengurangkan beban pada mata semasa menggunakan skrin.

Mulakan hari anda dengan aktiviti yang tidak melibatkan skrin, seperti bersenam, bermeditasi, atau menulis jurnal. Tetapkan rutin santai pada waktu malam dengan polisi tanpa skrin satu jam sebelum tidur untuk meningkatkan kualiti tidur. Simpan buku fizikal atau majalah untuk menggantikan melayari media sosial semasa berehat. Dengarkan radio, buku audio, atau podcast sebagai alternatif kepada penstriman video.

Dalam menghadapi cabaran ini, perspektif Islam menawarkan panduan yang holistik dan relevan. Islam menganjurkan keseimbangan dalam kehidupan melalui konsep tawazun, iaitu tidak melampaui batas dalam sesuatu perkara. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang menyebut bahawa umat Islam adalah “umat pilihan dan umat yang adil”, satu peringatan untuk menjaga kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk penggunaan teknologi. Dengan menyeimbangkan masa antara penggunaan gajet, ibadah, dan interaksi sosial, seseorang dapat mencegah kesan negatif daripada “popcorn brain.

Selain itu, konsep muraqabah atau kesedaran bahawa Allah sentiasa memantau perbuatan manusia membantu mengekang ketagihan terhadap teknologi. Hadis Nabi SAW mengingatkan umat Islam untuk memanfaatkan lima perkara sebelum lima perkara, termasuk masa lapang sebelum sibuk dan sihat sebelum sakit. Kesedaran ini dapat memotivasi seseorang untuk menggunakan masa dengan lebih berhemah, seperti melibatkan diri dalam aktiviti produktif atau meningkatkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

Amalan berzikir juga merupakan antidot yang berkesan terhadap gangguan mental akibat rangsangan teknologi. Mengingati Allah melalui solat, doa, atau bacaan Al-Quran dapat memberikan ketenangan jiwa, seperti yang disebut dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” Dalam konteks ini, menggantikan masa terluang yang biasa dihabiskan dengan media sosial kepada aktiviti rohani dapat membantu otak berehat dan mengurangkan ketergantungan terhadap rangsangan digital.

Islam turut menekankan kepentingan menjaga akal (hifz al-‘aql), salah satu daripada lima Maqasid Syariah. Ketagihan teknologi, yang menyebabkan kesukaran untuk fokus atau berfikir secara mendalam, adalah ancaman kepada keupayaan intelektual manusia. Oleh itu, kawalan diri menjadi kunci untuk mengatasi isu ini. Mujahadah atau usaha untuk menahan diri boleh diamalkan dengan menetapkan had penggunaan teknologi, seperti mematikan peranti semasa waktu makan atau sebelum tidur.

Selain itu, Islam menganjurkan aktiviti sosial secara fizikal sebagai cara membina ukhuwah dan mengelakkan pengasingan akibat ketagihan teknologi. Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 103, mengingatkan umat Islam untuk berpegang teguh pada tali Allah dan tidak berpecah-belah. Aktiviti seperti solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, atau ziarah dapat memulihkan hubungan sosial dan memberikan keseimbangan dalam kehidupan.

Oleh:
Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor adalah Pensyarah Kanan dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau juga merupakan Felo di Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr. Kartini Kamaruzzaman adalah Ketua Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr. Norsimaa Mustaffa adalah Pensyarah Kanan dalam Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here