KUALA LUMPUR – Tan Sri Kamaluddin Abdullah menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan mahu menggunakan kedudukan bapanya bagi mengaut kekayaan.

Kamaluddin adalah anak kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi..

Kamaluddin berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian atau melakukan perkara seperti didakwa.

“Sebagai respon kepada kenyataan terkini Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengenai saya, saya dengan tegas menafikannya.

“Tun Mahathir jelas sangat kecewa dan marah terhadap banyak perkara dan individu.

“Saya tidak pernah berkata sedemikian, dan saya juga tidak melakukan perkara sedemikian,” kata Kamaluddin di platform Instagram lewat malam tadi.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mendedahkan perbualan yang didakwanya pernah berlaku antara anaknya dan anak Abdullah yang menyebut anak perdana menteri kelima negara itu dikatakan menyatakan niat untuk menggunakan kedudukan bapanya bagi mengaut kekayaan.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, Mahathir mengaku dia terkejut dengan pendedahan tersebut.

“Mereka (pengganti saya) percaya bahawa semasa saya menjadi perdana menteri, saya menyalahgunakan kuasa dan korup. Anak Abdullah beritahu anak saya, ‘Giliran awak sebelum ini, sekarang giliran kami.’ Giliran untuk apa? Untuk mencuri wang. Saya terkejut,” katanya

Mahathir meluahkan rasa kesal pemimpin-pemimpin tersebut lebih memandang kedudukan perdana menteri sebagai peluang untuk mengaut kekayaan, bukannya untuk memimpin dan membangunkan negara.

Kamaluddin dalam pada itu, mengajurkan orang ramai agar mendoakan kesejahteraan Mahathir yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke 100 tahun ini.

“Hal yang terbaik yang kita boleh lakukan adalah berdoa untuk kesejahteraannya dan berharap agar di hujung usianya (Dr Mahathir), beliau menemui kedamaian dalam diri,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here