KOTA TINGGI – Tiga lelaki termasuk seorang warga emas maut selepas kereta yang dinaiki terbabas dan masuk ke dalam kolam takungan air di Ladang YPJ, Ulu Sedili di sini semalam.
Mangsa yang maut Lee Choy Yeow, 49, Leong Kon Fatt, 72 dan Lee Fook Wan yang umur tidak dapat dipastikan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.40 petang.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke tenpat kejadian berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan terbabas dan masuk ke kolam takungan banjir.
“Terdapat tiga mangsa terlibat, seorang mangsa telah ditemui dan dua lagi hilang, PKO membuat kaedah mencari dipermukaan di sekitar kawasan.
“Operasi menyelamatkan dilakukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dengan menggunakan kaerah ‘sweeper’ dan ‘focus point’.
“Mangsa kedua ditemui lebih kurang pukul 11.10 malam dan mangsa ketiga dijumpai pukul 12.10 tengah malam tadi oleh pasukan PPDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shawaluddin, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau memberitahu, operasi tamat pada pukul 12.40 tengah malam.- MalaysiaGazette