Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Cadangan peguam Haniff Khatri Abdullah untuk Majlis Raja-Raja membincangkan dakwaan kerajaan enggan mengakui dan melaksanakan titah adendum berhubung hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak, boleh mewujudkan krisis Perlembagaan di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan cadangan Haniff Khatri itu sebagai berbahaya malah tidak sesuai yang sepatutnya dibincangkan dalam persidangan Parlimen.

“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(1), (2), (3), (4), (5) dan (6), tidak ada kuasa untuk membincangkan apa yang dipanggil oleh Haniff Khatri tentang keingkaran Perdana Menteri mengakui kewujudan Titah Adendum sebelum ini.

“Tempat yang sesuai untuk Perdana Menteri dirujuk untuk dibincang malah dibahaskan ialah di Parlimen bukannya Persidangan Majlis Raja-Raja.

“Begitu juga Haniff Khatri perlu menyedari Perkara 145(4) Perlembagaan Persekutuan tentang tugas Peguam Negara di mana Fasal (4) tersebut menyatakan bahawa, melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar dalam mana-mana Mahkamah atau tribunal di Persekutuan.

“Begitu juga hendaklah diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu. Dalam hal ini Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bersifat tribunal.

“Selanjutnya perlu difahami perjalanan prosiding Lembaga Pengampunan seperti yang dinyatakan bawah Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan mempengerusikan mesyuarat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Haniff menyiarkan dalam Facebook miliknya, merayu agar Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya enggan memperakui titah tambahan itu.

Ini berlaku selepas Anwar mengakui Peguam Negara menerima surat berhubung titah adendum yang memerintahkan untuk Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Bagaimanapun, Anwar berkata, selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar dan Peguam Negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membenarkan Agong yang baharu dilantik, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Hassan percaya, pendengaran substiantif semakan kehakiman Najib tentang titah adendum itu nanti, pihak Peguam Negara atau Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Peguam Negara dan lain-lain defendan atau responden pasti akan memberikan penjelasan.

Menurutnya, penjelasan sama ada titah adendum itu telah dibentangkan atau tidak dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Jika jawapan kepada persoalan itu ialah positif iaitu ya, maka persoalan selanjutnya adakah Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat itu mematuhi Fasal (9) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut:

“Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbang apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.”

“Jadi persoalan kedua ini dapat kita ketahui bukan sekarang tetapi apabila permohonan semakan kehakiman Najib didengar tidak lama lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” ujarnya.

Hassan meminta Haniff Khatri supaya bersabar dan tidak terlalu cepat menyalahkan Perdana Menteri ataupun Peguam Negara dalam perkara itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here