Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Negeri Kelantan, Mohammad’ Irfan Mohd Halmi

KUALA LUMPUR- Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Kelantan mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap pihak yang sengaja menyembunyikan titah adendum berhubung hukuman tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Jawatankuasanya, Mohammad’ Irfan Mohd Halmi berkata, sebagai ahli UMNO beliau kesal kerana ada pihak tertentu yang bersikap tidak telus dan cuba menyembunyikan titah adendum daripada umum.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih proaktif dalam melaksanakan titah berkenaan dan melakukannya tanpa ada sebarang campur tangan politik.

Katanya, langkah itu bagi memberi keadilan sewajarnya kepada Najib.

“Kita mahu proses keadilan terhadap bekas  Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak yang juga mantan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dibuat secara adil dan telus tanpa ada sebarang campur tangan politik mahupun sebarang gangguan kuasa politik dari sentuhan tangan tangan ghaib.

“Sehubungan itu, sebagai ahli parti kita sentiasa menzahirkan solidariti dengan penuh iltizam, sambil menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas perjuangan UMNO dan menghormati proses undang-undang yang sedang berlangsung ke atas bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambahnya, beliau serta Pemuda UMNO Kota Bharu, sentiasa berdiri teguh bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bahru Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dalam memberikan sokongan moral kepada Najib dan keluarganya.

Mereka juga akan terus berjuang atas dasar keyakinan terhadap prinsip keadilan, ketelusan, dan perjuangan menegakkan kebenaran bersama kepimpinan parti khususnya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi memastikan keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.

“Pemuda UMNO Kota Bharu, turut merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang telah mengesahkan kesahihan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Kita turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di atas usaha mereka sebelum ini yang telah memfailkan afidavit untuk mengesahkan bahawa wujudnya Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here