KUALA LUMPUR – Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak berpotensi mencetus konflik undang-undang dan krisis Perlembagaan, selain menghakis keabsahan kerajaan, kata Pas.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata penjelasan di pihak kerajaan mengenai perkara itu juga bukan sahaja lemah malah mengelirukan.
“Cara pengakuan itu dibuat oleh Perdana Menteri pula adalah secara bersahaja iaitu dalam satu acara umum yang tidak berkaitan sama sekali ataupun layak bagi satu isu penting yang membabitkan Duli-duli Yang Dipertuan Agong, Sultan Pahang, Peguam Negara, mahkamah serta hak seorang banduan mengikut undang-undang.
“Ini menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri beranggapan perkara tersebut tidak layak mendapat perhatian khas kerajaan umpama melalui satu kenyataan rasmi daripada beliau sendiri atau mana-mana kementerian mahupun agensi khusus yang berkait langsung dengannya,” katanya dalam satu kenyataan, lewat petang tadi.
Takiyuddin berkata demikian mengulas kenyataan Anwar di Pulau Pinang yang mengakui bahawa Peguam Negara menerima surat berhubung Titah Adendum yang memerintahkan untuk Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Bagaimanapun, Anwar berkata selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar dan Peguam Negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membenarkan Agong yang baru dilantik, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata penjelasan itu juga boleh mendedahkan kerajaan kepada konflik undang-undang dan Perlembagaan berikutan tiadanya peruntukan undang-undang yang membenarkannya.
“Semasa titah itu dibuat, Yang Dipertuan Agong ke-16 masih bertakhta dan titah baginda mesti dilaksanakan sepenuhnya kerana kegagalan berbuat demikian boleh diistilahkan sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Yang Dipertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan.
“Sekiranya Peguam Negara ketika itu berpendapat kuasa Yang Dipertuan Agong untuk memberi pengampunan tertakluk pada nasihat Lembaga Pengampunan, maka beliau sekali lagi bertindak berlawanan dengan peruntukan Perlembagaan mengenai kuasa budi bicara Yang Dipertuan Agong,” katanya lagi.
Anwar semalam menegaskan kerajaan tidak pernah menyorok Titah Adendum untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya Anwar berkata, beliau antara individu awal membawa perkara tersebut di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta alasan-alasan pengampunan.
Menurut Anwar, pendirian beliau sebelum ini yang tidak mengulas isu tersebut kerana perkara berkenaan melibatkan Institusi Diraja. – MalaysiaGazette
Betul sangat PAS kali ni…DYMM Sultan Abdullah telah mengeluarkan titah tersebut semasa baginda masih bersemayam sebagai DYMM Agong ke 16 iaitu pada 29 Januari 2024. Malahan titah tersebut dimaktubkan di Istana Negara..bukan di Istana Pahang.