JOHOR BAHRU – Banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu turut menjejaskan 38 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, setakat hari ini, mereka yang terjejas membabitkan 12 calon SPM di daerah Kota Tinggi.
Ia diikuti empat calon SPM di Kluang, Kulai (lapan), Pontian (tujuh), Johor Bahru (tiga) dan Pasir Gudang (empat).
“Daripada 38 calon SPM yang terkesan banjir ini 21 orang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala bakinya menumpang rumah saudara.
“Untuk hari ini, tujuh calon SPM yang terjejas banjir menduduki peperiksaan subjek Matematik Tambahan di pusat peperiksaan yang ditetapkan.
“Di Kulai juga terdapat seorang calon terkesan banjir menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 2 Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilaporkan berkata, sebanyak 133 Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) disediakan bagi menempatkan calon SPM di enam negeri yang berisiko jika pusat peperiksaan sedia ada dilanda banjir.
PPA itu diwujudkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah sebagai langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung khususnya ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Di Johor, seramai 49,980 calon SPM 2024 menduduki peperiksaan di 376 buah pusat di negeri ini.- MalaysiaGazette