KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses untuk menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah bagi menangani isu kehadiran dan keciciran pelajar sebagai usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dasar itu dijangka akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan depan.
“Pengenalan dasar baharu itu juga bertujuan untuk mengatasi isu ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) akan datang.
“Ini merupakan antara langkah yang dapat kita laksanakan bagi memastikan isu kehadiran dan keciciran pelajar dapat ditangani sekaligus meningkatkan kualiti pendidikan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP), di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan hari ini.
Fadhlina turut meminta sedikit masa bagi pihaknya membuat rumusan berkaitan isu kehadiran calon SPM 2024 sehingga kertas terakhir peperiksaan itu. – MalaysiaGazette