Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang guru wanita kerugian lebih RM10, 000 selepas terpedaya sindiket penipuan tawaran kerja pada 3 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 32 tahun itu pada mulanya telah ditawarkan kerja sambilan melalui WhatsApp.

“Mangsa perlu membuat bayaran untuk setiap tugasan yang diberikan dan akan dibayar komisen serta pulangan modal setelah selesai tugas.

“Mangsa telah diarahkan membuat bayaran berjumlah RM30 dan RM40 ke akaun bank milik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kemanusiaan berkaitan bencana alam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ramli, mangsa kemudiannya telah menerima komisen bernilai RM20 dan RM35 berserta pulangan modal bagi dua tugasan pertama.

Jelasnya, mangsa juga telah membuat bayaran lebih besar pada tugasan kedua iaitu serendah RM200 hingga RM5,000.

Semua bayaran telah dibuat ke dalam akaun persendirian yang dipercayai akaun keldai namun mangsa tidk menerima sebarang keuntungan.

“Secara keseluruhan, mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM10,270,” ujarnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket penipuan tawaran kerja  telah mengaut keuntungan sebanyak RM123.7 juta dengan 3,633 kes dilaporkan sepanjang tahun 2024.

Menurutnya, sindiket yang sama sering menggunakan iklan pekerjaan sambilan di media sosial seperti Facebook atau melalui aplikasi WhatsApp untuk memperdaya mangsa.

“Mangsa yang tertarik akan dihubungi sindiket melalui WhatsApp dan diberi tugasan mudah seperti meningkatkan penilaian produk di platform jualan atas talian.

“Sebagai umpan, mangsa dibayar komisen kecil pada peringkat awal bagi membina kepercayaan mereka terhadap skim tersebut,” katanya.

Selepas mendapat keyakinan mangsa, sindiket akan menawarkan ‘pakej’ yang kononnya menjanjikan komisen lebih tinggi namun mangsa perlu membuat bayaran awal bagi tugasan tersebut.

Situasi bertambah buruk apabila tiada komisen diterima selepas bayaran dilakukan dan akhirnya, sindiket akan menutup operasi dan mangsa kehilangan wang.

Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pekerjaan yang kelihatan mudah seperti ‘klik, suka, ulas, dan kongsi’ yang memerlukan bayaran awal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast