LONDON – Bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov dihalau keluar dari sebuah pesawat selepas terbabit insiden pertikaian dengan Frontier Airlines.
Juara lightweight UFC beragama Islam itu dilaporkan mempertikaikan arahan kru kabin untuk memindahkan beliau dari tempat duduk di barisan keluar kecemasan ke kerusi lai.
Laporan media antarabangsa menyebut insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, apabila pramugari mempersoalkan kesediaan Khabib membantu penumpang lain untuk keluar jika berlaku kecemasan.
Pramugari berkata, beliau tidak boleh membenarkan Khabib duduk di situ dan memberi pilihan untuk menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat.
Bagaimanapun Khabib menolak dan menyifatkan tindakan itu tidak adil kerana beliau telah mematuhi semua prosedur.
“Ia tidak adil,” kata Khabib yang kemudian dijawab oleh pekerja berkenaan: “Ia adil. Ya, memang begitu.”
Khabib turut memberi penjelasan semasa proses daftar masuk, dia ditanya sama ada memahami bahasa Inggeris dan dia mengesahkan kepada kakitangan syarikat penerbangan bahawa dia memang memahami bahasa itu.
“Saya tidak akan berdebat lebih lanjut. Saya akan panggil penyelia,” kata kakitangan penerbangan dalam rakaman yang tular di media sosial.
Petugas penerbangan menegaskan bahawa Khabib perlu sama ada menukar tempat duduk atau diiring keluar dari pesawat.
“Yang mana satu pilihan anda?” soal pekerja itu sebelum menambah dia akan memanggil penyelia dan Khabib perlu ditempatkan semula dalam penerbangan lain.
Selepas pertikaian itu, Khabib dilihat berdiri dan berjalan ke bahagian depan pesawat.
Ramai pengguna X menuduh Frontier Airlines bertindak secara diskriminasi terhadap Khabib kerana beliau beragama Islam.-Agensi