KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak semakan kehakiman Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau diwakili peguam dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan demikian selepas menolak permohonan dikemukakan bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon bagi kes tersebut.
“Permohonan semakan (pemohon) ditolak tanpa sebarang kos alasan penuh kehakiman akan ditulis dalam jangka masa terdekat,” kata hakim.
Dalam prosiding hari ini, salah seorang peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid berkata, susulan keputusan itu pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, Hakim Amarjeet menetapkan tarikh hari ini bagi keputusan semakan selepas selesai mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima Ahli RCI selaku responden.
Selain Muhammad Rafique, Dr Mahathir juga diwakili oleh seorang lagi peguam, Zainur Zakaria.
Pada 12 Jun lalu, Hakim Amarjeet membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam pada prosiding RCI.
Shamsul memberi hujahan, permohonan semakan kehakiman itu menjadi akademik kerana siasatan sudah selesai dan laporan sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan lalu.
Selain itu, Shamsul menyatakan prosiding RCI itu dilakukan bukan untuk menuding jari kepada Dr. Mahathir dan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bukan subjek siasatan.
“Termanya hanya untuk menyiasat dan bukannya menuding jari kepada Tun Dr. Mahathir,” katanya.
Shamsul berkata demikian pada prosiding pendengaran semakan kehakiman dikemukakan Dr. Mahathir untuk perintah antara lain membatalkan keseluruhan prosiding RCI berkenaan.
Pada 5 Jun lalu, Dr Mahathir memfailkan permohonan itu, dengan menamakan Md Raus dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.
Manakala ahli RCI iaitu Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr. Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI, Zamri Misman dinamakan sebagai responden ketiga hingga kelapan.
Dr Mahathir selaku pemohon turut memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Sementara itu, Zainur yang mewakili Dr. Mahathir menyatakan semakan kehakiman itu belum bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah satu peruntukan keperluan berkanun dan sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan keseluruhan prosiding RCI terbatal.
Seksyen itu turut memperuntukkan individu yang kelakuannya tertakluk kepada siasatan berhak diwakili peguam sepanjang keseluruhan prosiding.
Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Dr Mahathir berkata, beliau dinasihati oleh peguam bahawa pelantikan Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan kecenderungan berlaku ketidakadilan dan berat sebelah.
Beliau berkata, sesungguhnya wujud perselisihan faham di antara Raus dengannya dan tidak diragukan lagi dan perkara itu akan memberi kesan terhadap ketelusan responden pertama (Raus) dalam memberikan keputusan dalam prosiding RCI.
Dr. Mahathir berkata, beliau juga dinasihatkan oleh peguamnya, bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ultra vires (bertentangan) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 kerana selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan, beliau berhak diwakili peguam pilihannya.
Katanya, beliau percaya hak untuk hadir dan diwakili oleh peguam hanya akan sempurna dan berkesan sekiranya beliau atau peguam diserahkan dengan dokumen, senarai saksi dan lain-lain keterangan yang akan dikemukakan pada siasatan RCI.
Selain itu, Dr. Mahathir dalam afidavitnya keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam, adalah tidak munasabah. – MalaysiaGazette