Susulan daripadanya, banyak negara di Asia Tenggara bersaing menarik kehadiran pelancong China pada musim perayaan ini.
Namun, malang menimpa Thailand apabila kejadian seorang pelakon hilang di negara gajah putih itu menyebabkan kebimbangan warganegara China.
Dengan rancangan pelancongan ke Thailand dibatalkan kerana insiden pemerdagangan manusia yang berlaku, Malaysia dijangka mendapat durian runtuh apabila sebahagian pelancong China menjadikan negara ini sebagai destinasi alternatif.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik, Mint Leong berkata, jumlah pelancong China yang melawat Malaysia pada Tahun Baharu Cina dijangka meningkat 10 peratus susulan apa yang berlaku di Thailand.
“Selepas Wang Xing (pelakon China) diperdagangkan dari Thailand ke Myanmar oleh sindiket, ramai netizen China menyeru jangan melancong ke Thailand.
“Ramai yang takut untuk melawat Thailand dan ada yang sudah membatalkan rancangan untuk melancong ke Thailand pada musim cuti yang akan datang,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, keadaan itu dijangka menambahkan 4,000 hingga 5,000 pelancong China yang akan melawat Malaysia, termasuk pelancong bebas dan pelancong yang mengikuti rombongan.
Menurutnya, walaupun penggiat industri pernah bimbang kejadian di Thailand akan menjejaskan negara-negara Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia, tetapi keadaan itu tidak berlaku.
“Selepas kejadian pemerdagangan manusia di Thailand, jumlah pelancong yang mahu melawat Malaysia tidak berkurangan, tetapi telah meningkat,” katanya.
Menurutnya, pengecualian visa dan keunikan sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia mendorong ramai pelancong China mahu melawat negara ini.