MELAKA – Seorang pengurus sebuah syarikat kawalan keselamatan didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dakwaan menggunakan sebagai tulen kertas-kunci jam bagi tuntutan gaji pengawal keselamatan, enam tahun lalu.
Tertuduh Zainal Abidin Za’abah, 56, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah terhadap tiga pertuduhan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Pengesahan Pelaksanaan Kunci Jam Watchman Clock Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di sekolah/institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi zon Alor Gajah 11.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Jalan Kolam Air, dalam daerah Alor Gajah bagi tempoh dua minggu untuk setiap tarikh 1 hingga 15 setiap bulan antara Mei, Jun dan Ogos 2019.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh di hukum bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang juga bapa kepada enam anak itu bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja Perkhidmåtan Kawalan Keselamatan bagi kawasan Alor Gajah 11 seperti dalam kontrak perjanjian bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2020 melibatkan sembilan buah sekolah dalam daerah Alor Gajah.
Tertuduh telah dibantu seorang Pegawai Ronda syarikat, wanita berusia 40 tahun bagi melakukan kerja-kerja penyeliaan, rondaan dan pemeriksaan secara harian terhadap pengawal keselamatan yang bertugas di sembilan buah sekolah tersebut.
Sepanjang tempoh tersebut, pemeriksaan mendapati wujud keadaan di mana pengawal keselamatan telah gagal untuk mengunci jam (watchman clock) pada setiap dua jam sepanjang hari sebanyak beberapa kali setiap bulan.
Tertuduh didapati dengan curangnya telah mengarahkan wanita terbabit untuk memperbaiki semula kertas kunci jam dengan mengunci semula jam yang tidak diketik oleh pengawal keselamatan pada setiap hujung bulan sepanjang tahun 2019.
Tertuduh kemudian dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen kertas-kertas kunci jam yang telah dipalsukan oleh wanita berkenaan untuk menuntut bayaran bagi
kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan.
Pengawal keselamatan bertugas yang gagal untuk mengunci jam setiap dua jam tersebut akan dikenakan denda oleh pihak syarikat dengan menolak gaji mereka masing-masing sebanyak RM5 bagi setiap check point.
Terdahulu, Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin memohon hukuman setimpal dengan alasan terlalu banyak kes melibatkan kemuka butiran palsu.
Tertuduh melalui peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan bagaimanapun merayu hukuman denda yang rendah kerana kerana mempunyai enam anak termasuk yang bongsu berusia enam bulan.
Hakim Elesabet kemudian menetapkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette