KUALA LUMPUR – Suspek utama dalam kes pembunuhan seorang wanita warga Indonesia di sebuah hotel di Taman Mawar, Puchong, Selangor pada 31 Disember lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pertuduhan ke atas suspek berusia 23 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek utama akan dituduh esok pagi di Mahkamah Petaling Jaya susulan tempoh remannya telah tamat pada Jumaat (10 Januari),” katanya, hari ini.
Pada 4 Januari lalu, polis mengesahkan akibat cemburu menjadi motif pembunuhan wanita yang mayatnya ditemukan dalam bilik hotel bajet di Taman Mawar pada 31 Disember lalu.
Anbalagan dilaporkan bekata, ia susulan tangkapan suspek utama yang bekerja sebagai buruh binaan di Presint 20, Putrajaya dan merupakan kenalan mangsa.
Tambah beliau, mangsa dikenalpasti sebagai warga Indonesia berusia 39 tahun dan mayatnya ditemui berlumuran darah jam 10.15 malam pada hari kejadian. – MalaysiaGazette