Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (tengah) ketika merasmikan Simposium ShariahCare : Merintis Kesihatan Dengan Nilai-nilai Syariah Malaysia. Turut bersama, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty (dua, kanan), Ketua Pengarah IKIM Profesor Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali (dua, kiri) dan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) Profesor Datuk Ir Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib (kanan). Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JANUARI 2025

BANGI – Sebanyak 54 hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM)  menerima pengiktirafan sebagai Hospital Mesra Ibadah (HMI) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2014.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi memenuhi keperluan pesakit Muslim di mana usaha ini menjadikan Malaysia sebagai model global dalam penjagaan kesihatan berteraskan syariah.

Menurutnya, di Indonesia, fatwa berkenaan garis panduan pengurusan hospital berdasarkan prinsip-prinsip syariah telah dikeluarkan pada tahun 2016 oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI).

“Di Malaysia, kita belum ada lagi setakat ini dan mungkin ini sesuatu perkara yang boleh digerakkan oleh JAKIM selepas ini sebagai langkah ke hadapan.

“Kesihatan dan agama tidak boleh dipisahkan dan penjagaan kesihatan patuh syariah menghormati sensitiviti agama pesakit,” katanya.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dzulkefly Ahmad (tengah) sesi bergambar bersama sebagahagian peserta dan pengurusan tertinggi pada simposium ShariahCare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-nilai syariah di Hotel Tenera, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JANUARI 2025

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucaptama dan penutup untuk Simposium ‘Shariacare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-Nilai Syariah di sini hari ini.

HMI mula diperkenalkan sejak 1998 oleh Hospital Universiti Sains Malaysia dan mula dikembangkan sejak 2010 kepada hospital Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu, Hospital Shah Alam di Selangor, Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, salah satu cabaran utama dalam memastikan penjagaan kesihatan berteraskan syariah adalah persepsi bahawa syariah dan kemajuan perubatan tidak boleh seiring.

Malah jelas beliau, syariah dilihat sebagai sesuatu yang rigid dan menyekat inovasi.

Namun menurut beliau, Islam sebenarnya menggalakkan umatnya untuk meneroka ilmu dan memanfaatkan teknologi.

“Sebagai contoh, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini digunakan dalam diagnosis penyakit seperti kanser dan diabetes yang dapat meningkatkan ketepatan rawatan dan mempercepatkan proses pemulihan pesakit.

“Selagi teknologi ini mematuhi prinsip syariah bagu menjaga nyawa, keadilan dan maruah manusia, ia dianggap sebagai sebahagian daripada usaha memanfaatkan ilmu anugerah oleh Allah,” katanya.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas selesai simposium ShariahCare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-nilai syariah di Hotel Tenera, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JANUARI 2025

Dr Dzulkefly menambah, selain itu, isu halal dan haram dalam perubatan sering menjadi perbincangan.

Contohnya kata beliau, penggunaan vaksin, pembedahan organ, dan rawatan kecemasan.

“Dalam hal ini, syariah memberikan fleksibiliti melalui prinsip darurat dan maslahah umum yang membenarkan tindakan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

“Kesihatan adalah rahmat Allah SWT yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab dan engan berpandukan maqasid syariah, kita mampu membina sistem kesihatan yang adil, holistik, dan penuh Rahmah,” katanya.

Sementara itu, Simposium ‘Shariacare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-Nilai Syariah adalah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd..

Simposium itu merupakan kesinambungan projek penyelidikan ‘Shariah-Compliant Islamic Medical Service Standard Framework for Health Provider in Malaysia’ yang bermula pada 2022 melibatkan kerjasama IKIM, UTP, Universiti Teknologi Mara dan UniKL.

Usaha tersebut kini telah berjaya menghasilkan Rangka Kerja Pematuhan Syariah sebagai panduan komprehensif sektor penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette

Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib memberi cenderahati kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Dzulkefly Ahmad pada simposium ShariahCare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-nilai syariah di Hotel Tenera, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JANUARI 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here