(Dari kiri) Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Ahmad Labib, CEO Impian International Sdn Bhd, Mohd Arafat Muhammad, CEO ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, Setiausaha LPHU, Dr Marjuki Al Jawiy dan Pengurus Jualan dan Usahasama Korporat ikhlas.com, Mohd Wafiyuddin Mustakim Safawi selepas menandatangani perjanjian usahasama di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) memeterai perjanjian usahasama dengan Lembaga Pembinaan Haji dan Umrah (LPHU) Muhammadiyah dan Impian International Sdn Bhd dalam memperkasakan usaha untuk menyantuni lebih ramai jemaah umrah dari Indonesia.

Menerusi perjanjian itu, ikhlas.com akan bekerjasama rapat dengan LPHU Muhammadiyah dan Impian International untuk menyediakan pakej umrah dan penerbangan mampu milik dengan AirAsia X serta meningkatkan kualiti dan jaminan perkhidmatan untuk pasaran umrah Indonesia.

Perjanjian itu dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, Setiausaha LPHU, Dr Marjuki Al Jawiy dan Ketua Pegawai Eksekutif Impian International Sdn Bhd, Mohd Arafat Muhammad; disaksikan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Ahmad Labib yang juga Bendahari LPHU.

Menurut Ikhlas, terdapat permintaan besar untuk umrah mampu milik dari Indonesia dan pihaknya sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut.

Menerusi kerjasama tersebut, katanya, Ikhlas dapat menawarkan akses mudah kepada lebih ramai warga Indonesia untuk menikmati pengalaman umrah mampu milik dengan perkhidmatan lengkap dan penerbangan terus ke Arab Saudi dengan AirAsia X.

“Misi kami adalah untuk menyantuni sekurang-kurangnya 10,000 jemaah Indonesia dalam tahun pertama dan meningkatkan bilangan sehingga 50,000 tetamu sebaik sahaja kami lebih memahami tentang keperluan khusus pasaran dan memenuhi keperluan itu dengan efektif,” katanya.

Sementara itu Ahmad Labib berkata, LPHU berbesar hati dengan pengenalan pakej Umrah LPHU pada harga yang sangat berpatutan bermula serendah Rp 21 juta (RM 5,830) yang menawarkan peluang kepada para jemaah menunaikan umrah dengan jaminan harga, penerbangan dan penginapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Impian International Sdn Bhd, Mohd Arafat Muhammad pula berkata, melalui usahasama ini, pihak Impian International ingin menawarkan “umrah satu pintu” antara kedua-dua negara kepada semua ahli di bawah naungan LPHU.

“Ini berdasarkan faktor kebolehpercayaan dan kesalinghubungan terhadap ikhlas.com serta ekosistem AirAsia yang cekap,” katanya.

Pada 2024, ikhlas.com Umrah berjaya menerbangkan lebih 110,423 penumpang ke Arab Saudi dan menyantuni hampir 5,500 jemaah umrah dengan kira-kira 600,000 pengguna platform serantau.

Muhammadiyah adalah gerakan Islam modenisme terbesar dan tertua di Indonesia yang mempelopori organisasi haji dan umrah di negara itu.

Ia merupakan pertubuhan Islam pribumi pertama yang mereformasi dan memperkenalkan sistem pendidikan Islam moden, tadbir urus dan pengurusan hal ehwal agama berdasarkan prinsip akauntabiliti dan berorientasikan impak dan mempelopori gerakan emansipasi wanita Islam.

Dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Islam yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah.

Selain ikhlas.com Umrah dan Travel (kembara mesra Muslim) dengan kerjasama anak syarikat penerbangan, AirAsia X, ikhlas.com juga memudahkan umat Islam menunaikan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan banyak lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here