KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Residence Icons untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tribunal bertarikh 5 April 2024.
Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Amarjeet Singh yang turut mengarahkan JMB berkenaan membayar kos sebanyak RM5,000.
Dalam kes yang berlangsung hari ini, JMB telah memohon penangguhan keputusan tribunal sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, pihak mahkamah menolak permohonan tersebut berdasarkan hujahan utama bahawa keputusan tribunal sebelum ini hanya menolak tuntutan JMB tanpa memberikan arahan kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan sesuatu tindakan.
Selain itu, pihak pembelaan juga berhujah isu tersebut telah diputuskan sebelum ini di mana pada 8 November lalu, Hakim, Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah menolak permohonan JMB yang serupa.
Hakim bersetuju dengan hujah tersebut dan menegaskan tidak ada apa-apa yang perlu ditangguhkan dalam keputusan tribunal itu.
Susulan keputusan mahkamah, pihak pembelaan akan menyediakan draf perintah untuk mendapatkan kelulusan pihak lawan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Pada 8 November lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) menolak permohonan semakan kehakiman oleh JMB Icon Residence Mont Kiara yang mencabar keabsahan pelantikan Badan Pengurusan (MC) untuk mengambil alih pengurusan kondominium itu seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Bangunan (COB).
Wan Ahmad Farid menyatakan peranan pengurusan akan beralih sepenuhnya kepada perbadanan pengurusan yang ditubuhkan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 23 Disember 2023.
Mahkamah turut memerintahkan supaya JMB segera memindahkan baki dana dalam akaun penyelenggaraan dan akaun dana simpanan kepada perbadanan pengurusan serta menyerahkan semua aset, liabiliti, dokumen dan rekod yang berkaitan.
Selain itu, mahkamah menegaskan surat dari Pesuruhjaya Bangunan bertarikh 19 April 2024 yang sebelum ini mempertikai kesahan AGM dan perbadanan pengurusan kini tidak lagi relevan selepas keputusan mahkamah ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: